KESAN MODEL PEMULIHAN INTENSIF DAN BERTERUSAN TERHADAP KEMAHIRAN
BACAAN DAN TULISAN JAWI DALAM KALANGAN MURID PEMULIHAN SEKOLAH RENDAH.
ABSTRAK
Kesan Model Intensif Dan Berterusan Terhadap Pencapaian Bacaan
Dan Tulisan Jawi Dalam Kalangan Murid Pemulihan Sekolah Rendah.
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti Kesan Model Intensif Dan Berterusan (MPIB) Terhadap Pencapaian
Bacaan Dan Tulisan Jawi Dalam Kalangan Murid Pemulihan Sekolah Rendah.
Pelaksanaan Model Kelas Pemulihan Jawi j-QAF melalui Program j-QAF telah dijalankan semenjak tahun 2004. Program
ini bertujuan memulihkan masalah keciciran bacaan dan tulisan jawi dalam
kalangan murid sekolah rendah. Matlamat pembelajaran model pemulihan jawi
adalah untuk memastikan murid sekolah rendah yang tamat persekolahan tahun enam
dapat menguasai bacaan dan tulisan jawi apabila melangkah kaki ke sekolah
menengah. Laporan daripada Unit j-Qaf negeri Perlis menunjukkan bahawa murid-murid
pemulihan jawi masih perlu dibantu agar
dapat menguasai kemahiran bacaan dan tulisan jawi. Kelemahan murid pemulihan
untuk membaca dan menulis jawi menjadikan murid ketinggalan dalam pembelajaran
Pendidikan Islam yang sepatutnya dipelajari melalui versi tulisan jawi.
Kegagalan membaca dan menulis akan menyulitkan murid daripada mengikuti
pembelajaran ilmu-ilmu Islam khususnya membaca Al-Quran dan Hadis. Kesannya
murid akan semakin ketinggalan daripada pengetahuan agama dan membawa kepada
masalah sosial yang berleluasa. Oleh itu objektif kajian ini akan melihat kesan
daripada MIPB terhadap kemahiran bacaan dan tulisan jawi bagi murid pemulihan
tahun lima sekolah rendah. Reka bentuk kajian menggunakan kaedah kuasi-eksperimental.
Kumpulan eksperimen akan mengikuti Model Pemulihan Intensif dan Berterusan dan kumpulan
kawalan akan mengikuti kaedah pembelajaran pemulihan konvensional. Pengumpulan
data kajian berdasarkan gabungan data
kuantitatif dan kualitatif. Data kuantitatif akan dikumpulkan melalui instrumen
soal selidik dan skor pencapaian ujian pra dan pasca. Manakala data kualitatif
akan dikumpulkan melalui kaedah temu bual terbuka daripada guru pemulihan dan waris
murid pemulihan. Analisis secara statistik deskriptif dan
inferensi dijalankan untuk melihat tahap penguasaan bacaan dan tulisan
berdasarkan min, mod dan sisihan piawai. Ujian Korelasi Pearson dijalankan
untuk melihat hubungan antara tahap pencapaian kemahiran membaca dan menulis jawi
dengan penggunaan bahan sumber mengajar jawi dan peruntukan masa bagi p&p
jawi.
1.0 Pendahuluan
Tulisan Jawi sangat berperanan dalam usaha mengangkat
martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu Alam Melayu. Kedatangan Islam pada
tahun 1414 melalui Negeri Melaka, menandakan bermulanya penggunaan tulisan jawi
di Tanah Melayu dan penggunaannya berkembang dengan aktif
sehingga awal tahun 1900-an selaras dengan perkembangan Islam di Tanah Melayu
(Hamdan Abdul Rahman, 1999). Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Pendidikan
Islam diajar secara non-formal, iaitu dengan belajar di rumah guru, pondok dan
madrasah. Sistem persekolahan formal mula diperkenalkan setelah negara mencapai
kemerdekaan dengan menjadikan Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran yang
wajib bagi setiap pelajar beragama Islam (Pusat Perkembangan Kurikulum,1991).
Buku teks yang digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran ditulis
dalam tulisan jawi dan ada yang ditulis dengan Bahasa Arab ( Abdullah Ali
Hassan,1980)
Setelah Tanah Melayu menerima pengaruh penjajahan barat
peranan tulisan Jawi semakin berkurangan dan digantikan dengan tulisan Rumi. tulisan
Jawi hanya digunakan dalam urusan keagamaan seperti di masjid, surau, pondok
dan secara beransur-ansur terpinggir daripada arus perkembangan kurikulum
perdana. Fungsi dan peranan tulisan Jawi pada kurun ke 17 dan 18 begitu
diagung-agungkan penggunaannya. Kini semakin sepi dan layu (Hashim Hj Musa,
1999). Berasaskan taburan dan lokasi wilayah, tulisan Jawi digunakan dengan
meluas di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung (Kang Kyoung Seock,
1990). Selain itu tulisan Jawi dijadikan sebagai medium penulisan dalam akhbar
Utusan Melayu dan majalah seperti Dian, Jawi Peranakan, Warta Malaya dan Pelita
Bahasa. Akibat daripada kemerosotan jualan dan sambutan yang rendah terhadap
penerbitan maka pihak penerbit tidak dapat menampung kos pengeluaran sehingga
menghentikan pengeluaran surat khabar dan majalah bertulisan jawi. Semenjak itu
tulisan Jawi kian terpinggir oleh masyarakat terutama dalam kalangan
murid-murid sekolah (Berita Harian, 20 November 2000).
Kemerosotan
penggunaan tulisan Jawi dalam penerbitan dan bahan bacaan jawi dalam masyarakat
Melayu diambil alih oleh tulisan Rumi yang terus berpengaruh dalam sebahagian
besar sistem pembelajaran di negara ini (Hashim Hj Musa, 2005). Tulisan Rumi
juga mengambil peranan sebagai tulisan dalam mata pelajaran Pendidikan Agama
Islam dan Bahasa Melayu dalam kurikulum sekolah. Oleh itu kelemahan menulis dan
membaca dalam kalangan pelajar telah meningkat memandangkan mata pelajaran
Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu tidak lagi diajar menggunakan tulisan Jawi.
Selain itu ketiadaan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam tulisan
jawi juga menyumbang kepada peningkatan masalah mengenal, membaca dan menulis
tulisan jawi (Muzni Haji Borhan, 1995).
Kekurangan penggunaan tulisan Jawi dan kelemahan pembaca
membaca dan menulis jawi di peringkat sekolah rendah, terbawa-bawa sehingga ke
sekolah menengah. Kesannya terdapat murid yang langsung buta tulisan Jawi dan
semata-mata bergantung kepada tulisan Rumi walaupun dalam urusan membaca
Al-Quran dan hal-hal keagamaan. Sejak kebelakangan ini kerajaan mula
menggalakkan kembali penggunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat Melayu
agar ia kembali berperanan sebagaimana 700 tahun dahulu. Agama Islam sangat
menekankan kemahiran membaca dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Program j-QAF
adalah antara usaha memperkasa tulisan jawi dan Pendidikan Islam dalam
pelaksanaan kurikulum semakan Pendidikan Islam (Buku Panduan Dasar, 2004).
Program j-QAF ini dibina berasaskan idea Y.A.B
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Haji Badawi yang
berhasrat melahirkan murid-murid di sekolah rendah yang khatam Al-Quran. Beliau
juga menyarankan agar Bahasa Arab diwajibkan, asas-asas fardhu ain dihayati dan
jawi diperkukuhkan bermula di sekolah rendah (Panduan Pelaksanaan Model-model
j-QAF, 2004). Program ini telah diamanahkan kepada Jabatan Pendidikan Islam dan
Moral (JAPIM) dan guru-guru yang dilatih khas berdasarkan modul program.
Sebanyak lima model pengajaran
dan pembelajaran telah diperkenalkan bagi mencapai matlamat program.
Model-model tersebut ialah :
i.
Model Kelas Pemulihan Jawi
ii.
Model 6 Bulan Khatam Quran
iii.
Model Tasmi’ Quran
iv.
Model Bahasa Arab Komunikasi
v.
Model Kem Bestari Solat
Model Kelas
Pemulihan Jawi merupakan satu daripada model program j-QAF yang dilaksanakan di
sekolah rendah. Kelas pemulihan wajib
dihadiri oleh murid-murid lemah jawi yang telah dikenal pasti dan diperakukan
oleh guru Pendidikan Islam yang terlibat dengan kelas jawi biasa sedia ada.
Usaha ini diharap bukan sahaja mampu menguasai bacaan dan tulisan jawi tetapi
juga turut mencintai jawi sebagai satu daripada warisan budaya bangsa yang
perlu dipertahankan.
Garis
panduan pelaksanaan model-model tersebut telah disediakan oleh Bahagian
Pembangunan Kurikulum (BPK) untuk rujukan guru-guru j-QAF semasa melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Mata Pelajaran jawi hendaklah
menggunakan pendekatan yang dapat menarik minat murid-murid, mudah dan tidak membebankan
para guru. Pendekatan kelas pemulihan ini diharap dapat menarik minat mereka
untuk terus belajar sehingga mampu menguasai kemahiran membaca dan menulis jawi
dengan baik. Skop Mata Pelajaran
Pemulihan Jawi ini memberi tumpuan kepada aspek pemulihan yang merangkumi
perkara berikut :
i.
Menguasai huruf jawi tunggal dan suku kata .
ii.
Menulis tulisan jawi dengan baik
iii.
Membaca tulisan jawi dengan baik
iv.
Mempelajari asas seni tulisan jawi
Matlamat
program ini adalah untuk membolehkan murid yang ketinggalan jawi dipulihkan dan
dapat menyertai murid-murid lain di kelas jawi biasa yang diadakan serentak
mengikut jadual sedia ada. Pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan
pembelajaran telah dilaksanakan melalui Model Kelas Pemulihan Jawi j-QAF (MKPJ)
untuk memulihkan masalah bacaan dan tulisan jawi. Kaedah yang sinonim dalam
MKPJ ialah kaedah pengajaran yang berasaskan permainan. Manakala kaedah latih
tubi membaca dan menulis kurang diberi perhatian dalam pelaksanaan model ini. Aktiviti permainan telah mendominasi kaedah
pemulihan jawi yang dijalankan di kelas pemulihan. Masalah kelemahan membaca
dan menulis jawi didapati mengurangkan kemampuan murid untuk menguasai
pengetahuan Islam dan membawa kepada masalah sosial yang semakin meningkat.
Oleh itu kerajaan menggalakkan usaha ke arah memulihkan murid yang keciciran
jawi melalui kaedah pembelajaran yang sesuai. Model Pemulihan Intensif dan
Berterusan (MPIB) adalah satu alternatif untuk membantu murid membaca dan
menulis jawi dalam kalangan murid
pemulihan di peringkat sekolah rendah.
2. Pernyataan Masalah
Masalah keciciran jawi murid pemulihan di
kebanyakan sekolah kebangsaan perlu ditangani dengan segera. Kebanyakan murid pemulihan yang berada di dalam kelas
pemulihan jawi tidak dapat menguasai
kemahiran mengenal, mengeja, menulis dan membaca jawi sebelum memasuki sekolah
menengah. Meskipun program j-Qaf dilaksanakan di peringkat sekolah rendah tetapi
murid yang berada di kelas pemulihan jawi perlu dibantu. Justeru itu guru dan
pihak bertanggung jawab perlu melipat gandakan usaha dan mencari kaedah
pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid melepasi tahap pemulihan.
Kelemahan murid dalam bacaan dan tulisan
jawi akan menjadi faktor penyumbang kepada kegagalan murid membaca Al-Quran.
Malah akan menyulitkan murid untuk mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam
kerana buku-buku Pendidikan Islam diterbitkan dalam tulisan jawi. Kegagalan
murid membaca dan menulis jawi akan menjadikan pendidikan Islam tidak diminati
dan murid akan semakin ketinggalan dalam pengetahuan Islam.
Kajian yang dijalankan oleh Cik Normaria Che
Hussin (2009) terhadap murid kelas pemulihan jawi tahun 3 dan 4 di Sekolah
Kebangsaan Tanjung Puteri, Johor Bahru mendapati 50 peratus daripada murid
kelas pemulihan masih tidak dapat mengeja dan membaca perkataan jawi
menggunakan sistem ejaan jawi terkini. Hasil kajian beliau mendapati pengajaran dan pembelajaran
melalui buku aktiviti jawi sahaja kurang berkesan. Akibatnya keputusan ujian
PKSR bulan Mac 2009 didapati merosot sebanyak 30 peratus daripada keputusan
ujian bulan Februari. Kaedah pengajaran dan pembelajaran membaca jawi dan
menulis jawi memerlukan suatu bentuk pengajaran khas seperti latih tubi secara
berterusan kerana murid kelas pemulihan jawi adalah berbeza daripada murid normal
(Sumiyati, 2009).
Sebelum Program j-QAF diperkenalkan, didapati
tidak ada satu langkah yang giat dan berkesan dilaksanakan untuk memartabatkan
tulisan jawi. Apatah lagi usaha untuk memulihkan penguasaan jawi di peringkat sekolah
rendah. Tidak terdapat satu program
atau kaedah ‘pengajaran pemulihan jawi’
dijalankan di sekolah. Program pembelajaran berasaskan tulisan Jawi yang banyak diusahakan lebih menjurus
kaedah mempelajari jawi dengan mudah dan cepat seperti Kaedah Jawi Mudah, Cepat
Membaca Jawi, Belajar Jawi dan banyak lagi. Sasaran utama kaedah ini adalah kepada murid yang telah menguasai
asas membaca dan menulis jawi. Walhal dalam masa yang sama, terdapat murid yang
begitu lemah jawi dan boleh dikategorikan sebagai buta jawi.
Sehingga kini hanya Program j-QAF yang
diperkenalkan melalui Model Kelas Pemulihan Jawi j-QAF (MKPJ) kepada murid yang
lemah bacaan dan tulisan jawi. Program ini bertujuan untuk memulihkan murid
yang keciciran jawi dan dilaksanakan
sejak tahun 2004. Laporan daripada Unit j-QAF, Jabatan Pendidikan Islam Negeri
Perlis (2010) menyatakan masalah membaca dan menulis jawi semakin berkurang,
dan program ini menampakkan kebaikan dari aspek penguasaan jawi. Walau
bagaimanapun status murid yang dilaporkan buta jawi masih dianggap tinggi.
Kegagalan murid menguasai jawi ini menjadi penyumbang kepada kegagalan murid
menguasai ilmu pengetahuan yang lebih menyeluruh (Ishak Abd Manaf & Nazirah
Ibrahim, (2006); Mohd Rosdi
Mahamud, (2008); dan
Akmariah Mamat et al.(2010).
Ketidakmampuan murid untuk membaca dan menulis
jawi di sekolah dan membaca jawi menyebabkan
murid mempunyai sikap negatif terhadap mata pelajaran jawi dan
Pendidikan Islam. Hasil kajian yang dijalankan oleh Azman Wan Chik, (1986),
Sulaiman Ngah Ghazali, (1990), Mustapha Yazid,(1991), Muhammad Endut (1992),
dan Norhazliana Mohd Hasan Abdullah (2007)
mendapati kekurangan bahan sumber jawi yang menarik dan sesuai telah
menyebabkan murid semakin bosan untuk mempelajari jawi. Dapatan kajian juga menjelaskan
bahawa sebahagian daripada murid yang gagal dalam ujian Pendidikan Islam adalah
murid yang tidak dapat menguasai kemahiran jawi. Kesuntukan waktu pula menjadi
daripada penyumbang kepada masalah perancangan aktiviti jawi yang kurang
sempurna. Akibatnya murid semakin ketinggalan dalam mata pelajaran Pendidikan
Islam kerana tidak berupaya membaca jawi daripada buku teks Pendidikan Islam
dan guru tidak berkesempatan mendekati murid bagi memberi tunjuk ajar yang
lebih khusus.
Sememangnya bahan sumber jawi amat sukar
diperolehi sebagaimana mata pelajaran lain. Kegagalan guru untuk menyediakan
bahan sumber bertulisan jawi dan menggunakannya dengan berkesan menyebabkan bacaan dan tulisan jawi menjadi
sukar dikuasai. Seterusnya mengurangkan keupayaan murid memahami kandungan
Pendidikan Islam; dan Pendidikan Islam itu menjadi kurang bermakna kepada
mereka. Isahak Haron dan Hassan Basri (1994) berpendapat,
kelemahan pelajar-pelajar sekolah menengah dalam menguasai kemahiran jawi
mempunyai kaitan langsung dengan keupayaan mereka pada peringkat sekolah
rendah.
Kegagalan membaca membawa kepada masalah keciciran murid dalam kelas. (http://ms.wikipedia.org/wiki/ : Wikipedia Bahasa Melayu,
2000). Kaedah membaca dan menulis yang digunakan dalam kelas MKPJ biasa lebih
terarah kepada kaedah permainan. Kaedah permaianan dapat menarik minat murid
belajar namun begitu, pengajaran
akan lebih berkesan dengan menggabungkan
kaedah latih tubi sepanjang pengajaran dan pembelajaran (Hasnalee Tubah &
Cik Normaria Cik Hussin, (2009); dan Siti Rosmah Ahmad (2005).
Suatu tindakan yang berkesan harus diambil supaya murid dapat menguasai
kemahiran bacaan dan tulisan jawi. Untuk membaca dan
menulis jawi dengan baik, murid-murid harus mempelajari dan menguasai kaedah
latih tubi membaca dan menulis huruf jawi dengan tekun. Oleh itu penekanan
haruslah dibuat dari sekolah rendah untuk memastikan murid-murid kenal dan
boleh menyambungkan suku kata-suku kata jawi. Program Kelas Intervensi Awal
Membaca dan Menulis (KIA2M) hanya melibatkan proses pemulihan Bahasa Melayu
tetapi tidak melibatkan pemulihan tulisan jawi.
Bagi
menghuraikan permasalahan berkaitan gaya pembelajaran yang lebih berkesan,
dicadangkan Model Pemulihan Intensif dan Berterusan (MPIB) menjadi alternatif
untuk menyelesaikan masalah keciciran jawi dalam kelas pemulihan jawi. Pembelajaran
pemulihan melalui Model Pemulihan Intensif dan Berterusan (MPIB) merupakan
aktiviti latih tubi secara berterusan
seperti menyebut, membaca dan menulis isi pelajaran jawi dalam kelas pemulihan
jawi. Perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh guru
perlu memastikan aktiviti latih tubi membaca dan menulis secara berterusan
menjadi satu kaedah pemulihan berdasarkan sukatan pelajaran jawi bagi murid
pemulihan jawi. Bahan bantu mengajar jawi juga perlu digunakan semasa
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran pemulihan jawi agar pembelajaran
menjadi lebih berkesan (Akmariah Mamat et. al., 2010). Pelaksanaan MPIB
dan penggunaan bahan sumber jawi yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Islam
dan Moral (JAPIM) akan dikaji bagi mengenal pasti kesannya terhadap pencapaian
bacaan dan tulisan dalam kelas pemulihan jawi. Fokus kajian
adalah pembelajaran jawi murid tahun lima sekolah rendah. Kajian juga
akan mengenal pasti kesan penggunaan
bahan sumber dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran kelas jawi pemulihan dan kesan peruntukan waktu pemulihan jawi
terhadap pencapaian jawi.
3. Objektif Kajian
Objektif khusus
kajian ini adalah untuk :
3.1 mengenal
pasti perbezaan pencapaian murid dalam kemahiran bacaan jawi antara
murid pemulihan jawi yang mengikuti kelas eksperimen dengan murid pemulihan
jawi yang mengikuti kelas kawalan.
3.2 mengenal
pasti perbezaan pencapaian murid dalam kemahiran tulisan jawi antara
murid pemulihan jawi yang mengikuti kelas eksperimen dengan murid pemulihan
jawi yang mengikuti kelas kawalan.
3.3 mengenal
pasti keberkesanan penggunaan bahan sumber jawi dalam
pelaksanaan Model Kelas Pemulihan Jawi j-QAF dan Model Pemulihan Intensif
dan Berterusan dalam meningkatkan pencapaian bacaan dan tulisan murid pemulihan
jawi.
3.4 mengenal
pasti keberkesanan peruntukan masa dalam pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran kelas pemulihan jawi berasaskan Model Kelas Pemulihan Jawi j-QAF
dan Model Pemulihan Intensif dan Berterusan.
3.5 mengenal
pasti hubungan antara pencapaian
murid pemulihan jawi yang mengikuti Model Pemulihan Intensif dan Berterusan
dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran konvensional dalam
penguasaan bacaan dan tulisan jawi dari aspek peruntukan masa dan penggunaan
bahan sumber jawi.
3.6 mengenal
pasti minat murid kelas pemulihan jawi terhadap Model Pemulihan Intensif
dan Berterusan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran jawi kelas
pemulihan.
3.7 mengenal
pasti tahap kesedaran guru dan waris terhadap pelaksanaan Program j-Qaf dan Model
Kelas Pemulihan Jawi.
4. Persoalan
Kajian
Persoalan kajian
ini ialah :
4.1 Adakah
terdapat perbezaan pencapaian murid
pemulihan jawi dalam kemahiran bacaan jawi antara murid pemulihan jawi yang
mengikuti kelas rawatan dengan murid pemulihan jawi yang mengikuti kelas
kawalan?
4.2 Adakah
terdapat perbezaan pencapaian murid
pemulihan jawi dalam kemahiran tulisan jawi antara murid yang mengikuti kelas
rawatan dengan murid pemulihan jawi yang mengikuti kelas kawalan?
4.3 Adakah
terdapat keberkesanan penggunaan bahan sumber jawi dalam
pelaksanaan Model Kelas Pemulihan
Jawi j-QAF dan Model Pemulihan Intensif dan Berterusan dalam meningkatkan
pencapaian bacaan dan tulisan jawi murid kelas pemulihan jawi?
4.4 Adakah terdapat
keberkesanan peruntukan masa dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
kelas pemulihan jawi berasaskan Model Kelas Pemulihan Jawi j-QAF dan Model
Pemulihan Intensif dan Berterusan dalam
meningkatkan pencapaian bacaan dan tulisan jawi murid pemulihan ?
4.5 Adakah
terdapat hubungan antara pencapaian murid pemulihan jawi yang
mengikuti Model Pemulihan Intensif dan Berterusan dengan murid yang mengikuti kaedah
pembelajaran konvensional dalam penguasaan bacaan dan tulisan jawi dari aspek
peruntukan masa dan penggunaan bahan sumber jawi?
4.6 Adakah
terdapat perubahan minat yang positif dalam kalangan murid kelas pemulihan jawi terhadap Model
Pemulihan Intensif dan Berterusan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
jawi pemulihan?
4.7 Sejauh manakah
kesedaran guru dan waris terhadap pelaksanaan Program j-Qaf dan Model Kelas
Pemulihan Jawi?
5. Hipotesis Kajian
Kajian ini
menggunakan hipotesis nul pada aras signifikan p < .05 bagi menjawab persoalan berikut :
Ho1 Tidak
terdapat perbezaan pencapaian yang
signifikan dalam kemahiran
bacaan jawi antara murid pemulihan jawi yang mengikuti
kelas rawatan dengan murid pemulihan jawi yang mengikuti kelas kawalan.
Ho 2 Tidak terdapat
perbezaan pencapaian yang signifikan dalam kemahiran tulisan jawi
antara murid pemulihan jawi yang mengikuti kelas rawatan dengan murid
pemulihan jawi yang mengikuti kelas kawalan.
Ho 3 Tidak terdapat keberkesanan penggunaan bahan sumber
jawi dalam pelaksanaan Model Kelas
Pemulihan Jawi j-QAF dan Model Pemulihan Intensif dan Berterusan dalam meningkatkan pencapaian bacaan dan
tulisan jawi murid kelas pemulihan jawi.
Ho 4 Tidak
terdapat keberkesanan peruntukan masa dalam pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran kelas pemulihan jawi berasaskan Model Kelas Pemulihan Jawi j-QAF
dan Model Pemulihan Intensif dan Berterusan
dalam meningkatkan pencapaian bacaan dan tulisan jawi murid pemulihan.
Ho5 Tidak
terdapat hubungan antara pencapaian murid pemulihan jawi yang
mengikuti Model Pemulihan Intensif dan Berterusan dengan murid yang mengikuti kaedah
pembelajaran konvensional dalam penguasaan bacaan dan tulisan jawi dari aspek
peruntukan masa dan penggunaan bahan sumber jawi.
Ho6 Tidak
terdapat perubahan minat yang positif dalam kalangan murid kelas pemulihan jawi terhadap Model
Pemulihan Intensif dan Berterusan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
jawi pemulihan.
Ho7 Tidak
terdapat kesedaran guru dan waris terhadap pelaksanaan Program j-Qaf dan Model
Kelas Pemulihan Jawi.
*****Artikel diatas adalah contoh sahaja...masih banyak perlu dimurnikan ...
Puan, saya adalah pelajar master.saya berminat dengan kajian ini seterusnya..adakah puan telah meneruskan kajian ini..bolehkah saya download keseluruhan jurnal puan
BalasPadam