KONSEP PENDIDIKAN ISLAM
MENURUT PEMIKIRAN IBN KHALDUN :
SUATU KAJIAN TERHADAP ELEMEN-ELEMEN
KEMASYARAKATAN ISLAM
MENURUT PEMIKIRAN IBN KHALDUN :
SUATU KAJIAN TERHADAP ELEMEN-ELEMEN
KEMASYARAKATAN ISLAM
Oleh: SYAHRUL RIZA, USM, PENANG (JULAI 2008)
ISI KANDUNGAN
ISI MUKA SURAT
PENGHARGAAN ................................................................................................. i
ISI KANDUNGAN ................................................................................................ iii
SENARAI SINGKATAN KATA ............................................................................. v
PANDUAN TRANSLITERASI .............................................................................. vi
ABSTRAK ............................................................................................................ viii
ABSTRACT ......................................................................................................... x
BAB I. PENDAHULUAN
1.1 Latar Belakang Kajian ...................................................................... 1
1.2 Pernyataan Masalah ........................................................................ 9
1.3 Kajian-kajian Lepas ........................................................................ 12
1.4 Batasan Kajian ................................................................................. 18
1.5 Kepentingan Kajian .......................................................................... 19
1.6 Objektif Kajian .................................................................................. 19
1.7 Kaedah Kajian ................................................................................. 20
BAB II. KONSEP PENDIDIKAN ISLAM
2.1 Pengantar Pendidikan Islam ............................................................ 27
2.2 Definisi Pendidikan Islam ................................................................. 29
2.2.1 Pengertian Pendidikan dari Segi Bahasa ......................................... 30
2.2.2 Pengertian Pendidikan dari Segi Istilah ........................................... 37
2.2.3 Pengertian Pendidikan Dalam Islam ................................................ 38
2.3 Sumber Pendidikan Islam ................................................................ 39
2.3.1 Al-Qu’ran sebagai Sumber Pendidikan Islam ................................... 39
2.3.2 Al-Hadith sebagai Sumber Kedua Pendidikan Islam ....................... 41
2.4 Matlamat Pendidikan Islam .............................................................. 44
2.4.1 Matlamat Am Pendidikan Islam ....................................................... 46
2.4.2 Matlamat Khas Pendidikan Islam .................................................... 52
2.4.3 Matlamat Akhir Pendidikan Islam .................................................... 54
2.5 Asas-asas Pendidikan Islam ............................................................ 59
2.5.1 Asas Pendidikan Am ........................................................................ 59
2.5.1.1 Asas-asas Sejarah Dalam Pendidikan ............................................ 59
2.5.1.2 Asas-asas Sosial Dalam Pendidikan ............................................... 61
2.5.1.3 Asas-asas Ekonomi Dalam Pendidikan ........................................... 63
2.5.1.4 Asas Politik Dan Pentadbiran Dalam Pendidikan ............................ 65
2.5.1.5 Asas-asas Psikologis Dalam Pendidikan ......................................... 67
2.5.2 Asas Pendidikan Khas (Islam) ......................................................... 68
2.5.2.1 Asas Akidah ..................................................................................... 68
2.5.2.2 Asas Ibadat ...................................................................................... 71
2.5.2.3 Asas Tasyri‘...................................................................................... 74
2.5.2.4 Asas Akhlak ..................................................................................... 75
2.6 Struktur Pendidikan Islam ................................................................ 79
iv
BAB III.
KEHIDUPAN IBN KHALDUN
3.1 Latar Belakang Kehidupan Ibn Khaldun .......................................... 90
3.1.1 Latar Belakang Pendidikan Ibn Khaldun .......................................... 93
3.1.2 Latar Belakang Politik Pada Zamannya ........................................... 98
3.1.3 Latar Belakang Sosial Pada Zamannya .......................................... 104
3.1.4 Karya-karya Tulisan Ibn Khaldun ..................................................... 108
3.2 Ibn Khaldun dalam Sejarah Intelektual ............................................ 113
BAB IV. KONSEP-KONSEP PENDIDIKAN MENURUT IBN KHALDUN
4.1 Struktur Pendidikan menurut Ibn Khaldun ....................................... 119
4.2 Pandangan Ibn Khaldun Tentang Perkembangan Akal Fikiran
Pelajar ..............................................................................................
122
4.3 Fitrat Sebagai Potensi Perkembangan Pendidikan ......................... 128
4.4 Pendidikan Sebagai Penjelmaan daripada Potensi ke Kenyataan .. 132
4.4.1 Potensi Kognitif dan Fungsinya dalam Belajar ................................ 133
4.4.2 Teori Belajar ..................................................................................... 135
4.5 Klasifikasi Jenis Ilmu Pengetahuan ................................................. 139
4.5.1 Ilmu-ilmu yang Bersifat Tradisional .................................................. 140
4.5.2 Ilmu-ilmu yang Bersifat Rasional ..................................................... 144
4.6 Kaedah Pengajaran menurut Ibn Khaldun ....................................... 146
4.6.1 Gaya Mengajar atau Cara Penyampaian ......................................... 150
4.6.2 Alat Bantu dan Sarana Pendukung Proses Belajar dan Mengajar .. 151
BAB V. KEMASYARAKATAN ISLAM DALAM KONSEP PENDIDIKAN
MENURUT IBN KHALDUN
5.1 Manusia Dalam Perspektif Pendidikan Islam .................................. 154
5.2 Elemen-elemen Kemasyarakatan .................................................... 159
5.2.1 Manusia sebagai anggota masyarakat ............................................ 159
5.2.2 Perkembangan dan perubahan masyarakat .................................... 160
5.2.3 Perbezaan antara masyarakat ......................................................... 162
5.3 Aspek-aspek yang mempengaruhi kemasyarakatan ....................... 165
5.3.1 Aspek Sejarah ................................................................................. 165
5.3.2 Aspek Budaya .................................................................................. 167
5.3.3 Aspek Persekitaran .......................................................................... 169
5.3.4 Aspek Tamadun ............................................................................... 172
5.4 Pendidikan Islam berteraskan kemasyarakatan .............................. 175
5.5 Analisis akhir .................................................................................... 177
BAB VI. PENUTUP
6.1 Kesimpulan ...................................................................................... 183
6.2 Saranan ........................................................................................... 188
BIBLIOGRAFI .................................................................................. 190
KONSEP PENDIDIKAN ISLAM MENURUT PEMIKIRAN IBN KHALDUN : SUATU
KAJIAN TERHADAP ELEMEN-ELEMEN KEMASYARAKATAN ISLAM
ABSTRAK
Ibn Khaldun bukan sahaja seorang ahli falsafah tetapi juga pengasas ilmu
kemasyarakatan dan sumbangannya amat besar dalam bidang berkenaan sehingga
hari ini. Beliau disifatkan sebagai sarjana agung penamat arus kebangkitan ilmu
dalam Islam semasa zamannya.
Ibn Khaldun cenderung dalam melakukan kajian tentang masyarakat dan beliau
telah meletakkan kaedah-kaedah ilmu ini sebagai asas awal dalam penulisan
sejarah masakini. Beliau merangkumkan pemikirannya tentang kemasyarakatan
dalam bukunya iaitu : Al-Muqaddimah. Selain dari itu Ibn Khaldun juga telah berjaya
membangunkan teori-teori pendidikan dalam karyanya yang sama.
Penyelidikan ini dikhususkan pembahasannya kepada konsep pendidikan Islam dan
elemen-elemen kemasyarakatan berdasarkan pemikiran Ibn Khaldun. Justeru,
penyelidikan ini dilakukan bertujuan untuk mengetahui konsep pendidikan Islam
menurut pemikiran Ibn Khaldun yang sesuai untuk diterapkan dalam masyarakat
sekarang, di samping tidak mengetepikan elemen-elemen kemasyarakatan yang
utama berdasarkan pemikiran beliau. Perhatian akan diberikan kepada aspek-aspek
kemasyarakatan seperti : aspek sejarah, budaya, persekitaran, dan tamadun.
Penyelidikan ini menggunakan kaedah sejarah iaitu mengadakan penyelidikan yang
bermatlamat untuk memecahkan masalah yang aktual dan menganalisis secara
objektif permasalahan yang ada. Penyelidikan ini juga merupakan penyelidikan
kualitatif yang bersifat tekstual dan kontekstual dengan memfokuskan pada kajian
kepustakaan. Data yang diperoleh atau terkumpul dari kajian ini barulah dianalisis
dengan menggunakan kaedah analisis isi.
Ibn Khaldun menyarankan supaya pendidikan yang bermartabat dan bermatlamat
tinggi haruslah memerhatikan elemen-elemen kemasyarakatan dalam proses
pembelajaran dan pengajaran, baik manusia sebagai anggota masyarakat yang
suka kepada perkembangan dan perubahan serta masyarakat yang selalu siap
dengan perbezaan sesama mereka, kerana ini semua akan menjadi sarana
pendokong dalam dunia pendidikan.
Kemasyhuran Ibn Khaldun dalam dunia ilmu pengetahuan pada amnya dan dunia
pendidikan Islam khasnya, hendaklah dapat dijadikan contoh teladan yang dapat
diikuti jejaknya oleh kalangan yang ingin mengembangkan wawasan
pengetahuannya. Apalagi beliau dianggap sebagai salah seorang pengasas ilmu
kemasyarakatan yang hebat.
BAB I
PENDAHULUAN
1.1. Latar Belakang Kajian.
Sebagaimana diketahui bahawa Ibn Khaldun merupakan salah seorang ulama
besar yang dihormati, sehingga kemasyhuran beliau sentiasa bersinar di setiap
zaman, sehingga sekarang ramai orang yang menaruh perhatian terhadap idea dan
pemikirannya. Beliau terkenal sebagai ahli sejarah yang bijaksana, ahli ekonomi dan
perancang pendidikan dalam memakmurkan masyarakat sebagaimana ditulis dalam
kitab Muqaddimahnya. Disebabkan oleh keahliannya, beliau dipandang bagaikan
bintang yang bersinar dalam kegelapan pada zamannya, meskipun beberapa
ketentuan perundangan yang berkaitan dengan kekuasaan politik kerajaan yang
zalim tidak lagi sesuai dengan sistem perundangan masa kini.
Bagaimanapun, beliau tetap dipandang sebagai seorang ‘alim yang memiliki
keperibadian unggul dan cemerlang fikirannya, sebab beliau banyak menggunakan
idea-idea yang tidak dapat dibantah, berwatak asli yang pantas dijadikan teladan.
Beliau juga memiliki kecerdasan tinggi, berpandangan luas dalam menganalisis
pelbagai peristiwa yang terjadi semasa hidupnya. Sehingga seluruh gejala dari
peristiwa tersebut dapat beliau jawab melalui pemikiran yang kreatif, dengan
menetapkan hukum-hukum secara logik dan didukung oleh fakta-fakta yang
lengkap, dan sahih.
Nama beliau ialah Waly al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Abi Bakr
Muhammad ibn al-Hasan ibn Khaldun al-Maliki al-Hadrami, dilahirkan di Tunisia
pada 1 Ramadan 732 H / 27 Mei 1332 M, dan beliau meninggal dunia pada 26
Ramadan 808 H / 18 Mac 1406 M di Kaherah. Kawasan Khalduniyah di Tunisia
masih ada sekarang hampir-hampir tidak berubah, dengan rumah yang dipercayai
tempat kelahirannya. Keluarga Ibn Khaldun telah berpindah ke Tunisia dimana Ibn
Khaldun dilahirkan, dan juga beliau mendapat pendidikan awalnya.1
Beliau sangat bijak dalam bidang kemasyarakatan terutamanya bidang sosiologi.
Selain daripada itu beliau menguasai al-Qur’an, Matematik dan Sejarah. Baginya
yang penting adalah menghubungkan pemikiran sosiologi dengan pemerhatian
sejarah. Kajian masyarakat menurut pandangannya merupakan, “bidang sains yang
berdiri sendiri dan memiliki objeknya yang tersendiri yakni tamadun manusia dan
organisasi sosialnya. Ia juga memiliki permasalahannya yang tersendiri, iaitu
menerangkan secara tersusun akan gejala-gejala yang ada hubungannya dengan
hakikat tamadun, sama ada ia berbentuk konvensional ataupun intelektual”.2
Ibn Khaldun berpandangan bahawa manusia sebagai makhluk berfikir, dengan
kemampuannya dapat memetik dan memahami hal-hal yang berada di luar dirinya.
Pada mulanya, kemampuan itu masih berbentuk potensi. Dia menjadi aktual
(mencapai suatu titik perkembangan) melalui al-ta‘lim3 (pendidikan) dan al-riyadat
(latihan) yang sesuai dengan gerak perkembangan fizikal dan mentalnya4. Atas
dasar inilah, pengaruh dunia luar terprogram dan dapat mengoptimalkan potensi
manusia ke arah yang lebih sempurna.
Ibn Khaldun menambahkan bahawa kemampuan fikir manusia baru muncul secara
aktual, setelah memiliki kemampuan tamyiz (kemampuan membezakan). Setelah
masa itu, yang dicapai adalah merupakan akibat dari persepsi sensual dan
kemampuan akal fikirannya. Potensi akal fikiran dan semua potensi lain yang
dianugerahkan Allah s.w.t. sebagai watak manusia diusahakan untuk menjadi aktual
sesuai dengan tuntutan wataknya. Sebelumnya itu, akal fikiran dapat memperoleh
cara berfikir yang tidak dimilikinya. Dengan demikian, manusia mencari objek dan
subjek lain untuk mendapatkannya.5
Setelah itu fikiran dan pandangannya dicurahkan pada pencarian hakikat kebenaran
satu persatu, serta memperhatikan peristiwa-peristiwa yang dialaminya. Dia menjadi
terlatih, sehingga upaya mencari pengetahuan tentang hakikat sesuatu menjadi
suatu malakat baginya6. Dengan malakat tersebut, manusia lebih mengenal gejala
dan hakikat sesuatu, lalu membentuk ilmu tertentu dan jiwa generasi yang sedang
tumbuh tertarik untuk memperoleh ilmu tersebut. Malakat itu sendiri diperoleh
dengan cara berusaha dan bukan diperolehi secara perwarisan, maka dari itu
jadilah ilmu sebagai malakat yang memerlukan kepada pembelajaran.7 Bahkan
mereka meminta bantuan para ahli ilmu pengetahuan dan keterampilan. Dalam
konteks inilah menurut Ibn Khaldun timbulnya pendidikan. Jadi menurutnya ilmu
pengetahuan dan pendidikan merupakan suatu hal yang semulajadi (tabi’i)
ditengah-tengah tamadun umat manusia8. Orang Timur pada masa Ibn Khaldun
jauh lebih maju daripada orang Barat. Hal ini disebabkan adanya pendidikan dan
aktiviti ilmiah yang terurus dengan baik. Disebabkan itu orang-orang Barat pergi
(rihlat) ke Timur untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang keperluan tarbiyat (pendidikan) bagi manusia, Aziz al-Azmeh menyatakan :
“science education are natural to civilization”.9 Ibn Khaldun berpandangan, bahawa
“jiwa rasional bertahan secara semulajadi pada manusia hanyalah secara potensi”.
Penjelmaan daripada potensi kepada kenyataan disebabkan dua hal. Pertama,
keberanekaan ilmu dan persepsi baru yang muncul melalui perasaan. Kedua, oleh
pencapaian terakhir ilmu melalui kekuatan spekulasi, hingga benar-benar menjadi
persepsi aktual dan intelek murni, maka ia menjadi essensi spiritual dan essensinya
lalu mencapai kesempurnaan.10 Bertolak dari anggapan tersebut Ibn Khaldun
mengatakan, bahawa pendidikan merupakan upaya perubahan potensi (al-Taqat al-
Quswa) manusia. Jadi pendidikan memegang peranan penting dalam tamadun
manusia.
Ibn Khaldun menjelaskan :
Manusia sebagaimana makhluk hewani lainnya juga mempunyai sifat
hayawaniyat-nya seperti al-hiss (rasa), al-harakat (gerak), memerlukan alqiza
(makanan) dan tempat tinggal (al-kanni). Manusia berbeza dengan
makhluk lain kerana manusia berkeupayaan untuk berfikir. Dengan potensi
itu manusia dapat mencari keperluan hidup. Dengan potensinya, manusia
dapat berinteraksi dengan sesamanya untuk tujuan-tujuan kesejahteraan
hidup bersama. Juga dengan potensinya, manusia dapat menerima ajaranajaran
dari Allah yang disampaikan oleh para Nabi kepadanya.
Secara semulajadi potensi manusia tumbuh dan berkembang dalam tahap demi
tahap. Proses tersebut berlangsung berlanjutan sejak dalam kandungan sampai
meninggal dunia. Searah dengan itu, pendidikan bertujuan mengoptimalkan
pertumbuhan dan perkembangannya. Oleh itu, Ibn Khaldun meletakkan pendidikan
dalam kerangka tamadun (al-‘Umran). Pendidikan merupakan bahagian yang tidak
dapat dipisahkan dari tamadun. Tamadun itu sendiri adalah isi pendidikan.
Tamadun merupakan konsekuensi logik aktiviti manusia. Melalui kemampuan
berfikirnya, manusia bukan hanya membuat kehidupannya, tetapi juga menaruh
perhatian kepada pelbagai cara memperoleh erti hidup. Proses inilah yang
melahirkan upaya pendidikan dan tamadun.12 Daya olah fikiran manusia dibentuk
oleh persekitaran, lama kelamaan membentuk suatu sistem. Kristalisasi sistem
itulah membentuk kebudayaan.
Bagi Ibn Khaldun, kebudayaan (al-thaqafat) adalah suatu aspek kemanusian.
Kebudayaan mengacu pada masyarakat. Dengan kata lain, kebudayaan terbentuk
sebagai hasil kecenderungan semula jadi manusia untuk bekerja sama. Dia
merupakan alat untuk keperluan manusia. Melalui penciptaan budaya manusia
meningkatkan kondisi hidup sesuai dengan persekitarannya. Dari segi ini
pendidikan dituntut untuk dapat memajukan kebudayaan dan tamadun umat.
Pendidikan dapat mengarah pada pencapaian tingkat hidup yang lebih baik dengan
tingkat kebudayaan dan tamadun lebih maju.
Berdasarkan pemikiran Ibn Khaldun tersebut, maka dapat diketahui bahawa dia
mempunyai pemikiran pendidikan yang optimis. Pemahaman ini didasarkan pada
pendapatnya, bahawa manusia mempunyai potensi yang dapat tumbuh dan
dikembangkan melalui pendidikan. Demikian pula pendidikan merupakan salah satu
sarana perubahan budaya, yang dapat mengubah aturan hidup menjadi lebih baik.13
Ibn Khaldun memaknai fitrat sebagai potensi-potensi asas yang mengalami
perubahan secara aktual setelah mendapat rangsangan (pengaruh) dari luar.
Menurutnya, jiwa apabila berada dalam fitrat nya yang asas (fitrat al-ula) siap
menerima kebaikan dan kejahatan yang datang dan melekat padanya. Ibn Khaldun
mendasarkan teori fitratnya pada hadith yang bererti sebagai berikut: “setiap anak
yang dilahirkan dalam keadaan fitrat, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya
Yahudi, Nasrani atau Majusi”.14
Berdasarkan kandungan hadith di atas menunjukkan bahawa yang dimaksudkan
dengan fitrat adalah potensi baik, sedangkan yang dimaksudkan dengan menjadi
Yahudi, Nasrani, dan Majusi bermakna menyesatkannya. Ertinya ibu bapanya
(milieu) yang menjadikan perkembangannya menyimpang dari sifat dasar yang suci
dan sepatutnya berkembang ke arah yang baik itu. Hadith tersebut juga
menerangkan, bahawa fitrat yang dibawa sejak lahir itu sangat besar dipengaruhi
oleh persekitaran.
Fitrat itu sendiri tidak akan berkembang tanpa pengaruh persekitaran yang mungkin
dapat mengubah secara drastik fitrat itu, manakala persekitarannya tidak
memungkinkan menjadikannya lebih baik. Maksudnya, fitrat manusia yang dibawa
sejak lahir mengarah kepada kebaikan, namun persekitaran merupakan faktor
penentu bagi kecenderungan watak, sifat, dan perilaku manusia. Faktor
persekitaran (milieu) bergabung dengan fitrat, maka terhasilah perkembangan yang
merupakan perilaku yang berkaitan antara persekitaran dengan fitrat.
Selanjutnya Ibn Khaldun menegaskan:
Kalau yang satu telah lebih dahulu (datang) mempengaruhinya, sifat yang
lain akan menjauh dalam bentuk yang seimbang, sehingga menjadi sukar
baginya untuk memperoleh sifat yang telah menjauh itu. Orang-orang yang
memiliki sifat kebaikan itu telah terlebih dahulu mempengaruhi dirinya,
sehingga telah menjadi sifat yang tertanam dalam jiwanya, ia akan terjauh
dari kejahatan, dan sukar baginya untuk melakukan kebaikan. Apabila
kebiasaan-kebiasaan yang jahat itu terlebih dahulu sampai kepadanya,
maka akan menjauh dari sifat kebaikan.
Dalam kutipan tersebut, menunjukkan suatu teori yang dilahirkan oleh Ibn Khaldun
bahawa, manusia pada dasarnya adalah baik, pengaruh yang datang kemudianlah
yang akan menentukan apakah jiwa manusia tetap baik, atau menyimpang menjadi
jahat. Jika pengaruh baik yang terlebih dahulu datang, maka jiwanya akan menjadi
baik. Demikian pula sebaliknya. Ibn Khaldun juga menegaskan, bahawa sifat
kebaikan dan kejahatan telah tertanam sedemikian rupa, sehingga telah menjadi
malakat-nya.16
Dengan demikian, manusia diberi kemungkinan mendidik diri dan orang lain. Di
sinilah tergambar, bahawa dia memiliki kemahuan bebas untuk menentukan dirinya
sendiri melalui ikhtiarnya. Menurut al-‘Aynayn, manusia menurut al-Qur’an dijadikan
dengan fitrat tauhid. Tabi‘at asalnya adalah baik. Kemudian manusia mempunyai
kecenderungan kepada kejelekan, kerana ada ikhtiar pada manusia untuk
menerima atau menolak kejelekan tersebut.17
Al-Ghazali (450-505.H/1058-1111.M) berpandangan, bahawa setiap anak yang
dilahirkan itu, dapat menerima baik dan buruk18. Sesuai dengan pandangan tersebut
Ibn Khaldun mengakui manusia sedia menerima baik dan buruk sekaligus. Baik al-
Ghazali mahupun Ibn Khaldun keduanya mengambil sikap yang searah dengan
penegasan al-Qur’an tentang fitrat manusia. Allah s.w.t. berfirman :
Ertinya : ”(setelah kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan
pengikut-pengikut mu, wahai Muhammad), ke arah agama yang jauh dari
kesesatan; Turutlah terus) “agama Allah” yaitu ugama Allah menciptakan
manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk
menerimanya”.19
(al-Qur’an, al-Rum : 30)
Berdasarkan maksud ayat di atas sinar tauhid merupakan fitrat dapat ditegaskan
dalam diri manusia yang terbentuk dari asal. Seterusnya hakikat hidup menurut al-
Farabi (259-339.H/870-950.M), setiap manusia itu menurut fitratnya haruslah
bermasyarakat untuk mencapai kesempurnaan hidup. Dia tidak mungkin dapat
menyelesaikan semua perkara secara tersendiri. Oleh itu, berhajat kepada
masyarakatnya. Tiap-tiap orang perlu bersikap tolong-menolong. Jika tidak, mereka
tidak akan mencapai kesempurnaannya. Hal ini terjadi dengan adanya perhimpunan
masyarakat yang saling membantu untuk mencapai kesempurnaan dan
memakmurkan dunia ini yang akhirnya terbentuklah masyarakat besar.20
Al-Farabi (259-339.H/870-950.M), mengaskan :
“Manusia secara fitratnya memerlukan hidup bermasyarakat. Mereka perlu
bermasyarakat untuk wujud dan tegak mencapai kemakmuran di dunia ini.
Masyarakat yang sempurna ialah masyarakat yang saling tolong-menolong
dalam mencapai kebahagian (al-Sa‘adat) yang berada di Madinat al-Fadilat
dan dinamakan masyarakat fadilat.
Dalam pandangan Islam seperti yang telah dikemukakan oleh Ibn Khaldun,
menunjukkan bahawa ciri-ciri masyarakat dianggap moden itu telah lama wujud
sebelum revolusi perindustrian di Eropah. Pada abad pertengahan masehi dunia
Islam sebenarnya telah jauh lebih maju berbanding dengan Eropah. Perkaraperkara
aspek moden tentang kemasyarakatan seperti yang terdapat masa kini
telah banyak dibincangkan oleh Ibn Khaldun dalam karyanya Muqaddimah. Bahkan
Ibn Khaldun sendiri telah memperkenalkan beberapa konsep penting sosiologi
seperti perbandingan desa dan kota, asabiyat atau solidariti sosial serta bidangbidang
berkaitan dengan ilmu-ilmu lain.
1.2. Pernyataan Masalah.
Selama ini, Ibn Khaldun dianggap sebagai ahli sosiologi22 yang merintis ilmu sosial
dan telah mencetuskan konsep-konsep serta teori yang bermanfaat untuk
dikembangkan. Namun demikian, Ibn Khaldun tidak hanya mendalami masalah
kemasyarakatan sahaja, beliau juga menekuni masalah pendidikan dengan
memberikan beberapa pemikiran tentang pendidikan Islam. Melalui pengalamannya
sebagai seorang pendidik, beliau banyak melibatkan diri dalam majlis ilmu
pengetahuan, mengajar, serta tekun mengadakan halaqat di beberapa negara
seperti Tunisia, Fez (di Morocco) dan Andalusia. Ibn Khaldun secara formal juga
pernah memberikan kuliah di Universiti al-Azhar dan beberapa institusi pendidikan
tinggi yang lain di Kaherah.
Melalui pengalamannya yang luas sebagai pendidik dan sebagai penganalisis yang
sangat teliti tentang realiti pendidikan pada zamannya, Ibn Khaldun membangunkan
teori-teori pendidikan Islam yang dicurahkan dalam karyanya al-Muqaddimah
walaupun karyanya itu merangkumi pelbagai aspek. Keaslian dan kedalaman
pemikirannya telah diakui oleh sejumlah ilmuan lain dan telah berhasil meletakkan
karya tersebut yang dikenali sebagai karya besar yang unik pada zamannya.
Karyanya masih terus dimanfaatkan oleh orang-orang yang berkepentingan,
meskipun Ibn Khaldun telah tiada.
Bagaimana baik dan sempurnanya suatu kurikulum pendidikan Islam yang
diterapkan dalam mencapai matlamat pendidikan Islam, namun apabila kurikulum
tersebut tidak dilaksanakan sebagaimana mestinya seperti tidak memilih kaedah
atau teori-teori pendidikan yang tepat dalam menyampaikan beberapa ilmu
pengetahuan kepada pelajar dan tidak memerhatikan elemen-elemen
kemasyarakatan yang terkandung di dalamnya, matlamat pendidikan tidak akan
tercapai. Ketidaktepatan penerapan kaedah secara praktikal akan mengganggu
proses pembelajaran yang akan mengakibatkan pembuangan masa dan tenaga
secara sia-sia. Maka dari itu, kaedah dan teori-teori pendidikan merupakan syarat
untuk mengintensifkan aktiviti dalam proses mencapai matlamat pendidikan Islam24.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi25 berkata dalam majlis pelancaran perayaan
hari guru kebangsaan ke-36, misi nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9) menetapkan pembangunan modal insan dan pemupukan minda kelas
pertama sebagai satu daripada lima teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020.
Oleh kerana itu, hakikat kejayaan agenda pembangunan modal insan bergantung
kepada kualiti sistem pendidikan negara yang terdiri dari :
1. Pendidik perlu terus menyambut cabaran melahirkan generasi modal insan
berdaya saing dan berfikiran global.
2. Pendidik perlu tetap berakar kepada nilai dan budaya tempatan.
3. Pendidik perlu peka dan prihatin dengan perkembangan terbaru dalam
pelbagai ilmu dan kemahiran, terutama dalam bidang pendidikan.
4. Pendidik perlu bersedia merintis perubahan demi meningkatkan kualiti
profesional itu selaras dengan usaha kerajaan menjana modal insan gemilang.
5. Keperluan dan kebajikan pendidik, terutama di luar bandar dan pedalaman
akan terus diberi perhatian26.
Berdasarkan ucapan diatas jelaslah arah pendidikan yang diharapkan oleh oleh PM
Malaysia iaitu pendidikan yang bermatlamat untuk pengembangan negara, bangsa
dan masyarakat. Oleh itu semua yang perlu dikaji sekarang apakah pendidikan
sekarang ini telah memerhatikan elemen-elemen kemasyarakatan secara
menyeluruh, kerana matlamat pendidikan Islam itu tidak akan tercapai secara
menyeluruh dan bersepadu serta berguna jika jalan yang ditempuh menuju cita-cita
tersebut tidak benar-benar tepat.
Pendidik adalah orang yang sangat bertanggungjawab dalam membentuk tamadun
manusia melalui penyebaran ilmu kepada masyarakat. Justeru, semua pendidik
mesti menyedari tanggungjawab mereka dan sentiasa menjaga nama baik sebagai
pendidik dan pemimpin masyarakat dengan menjalankan segala tugas dan
tanggungjawab secara ikhlas dan jujur. Namun demikian yang perlu kita perhatikan
sekarang sejauh mana seorang pelajar tersebut dapat menerima dan menyerap apa
yang telah disampaikan oleh pendidik dan mampu menerapkan dalam kehidupan
bermasyarakat sehingga ilmu yang telah didapati bukan sebagai teori sahaja akan
tetapi dapat berguna bagi masyarakat banyak.
Maka dari itu kajian ini ingin menyelidik lebih ke arah elemen-elemen
kemasyarakatan Islam yang meliputi pelbagai aspek seperti : aspek sejarah,
budaya, alam sekitar dan tamadun. Kesemua aspek ini mempunyai kaitan dengan
proses pendidikan, sebagaimana kita ketahui sebaik manapun suatu teori pendidik
dalam mendidik anak didik jika tanpa didukung oleh semua aspek ini tidak akan
tercapai matlamat pendidikan yang baik sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Khaldun.
Berdasarkan permasalahan-permasalahan di atas, maka persoalan kajian ini
tertumpu kepada :
1. Bagaimana teori pendidikan Islam menurut pemikiran Ibn Khaldun ?
2. Apakah elemen-elemen kemasyarakatan yang terkandung di dalam pemikiran
Ibn Khaldun ?
3. Sejauh mana aspek-aspek kemasyarakatan mempengaruhi proses pendidikan
Islam ?
1.3. Sorotan Karya.
Sepanjang pengamatan penulis didapati ada kajian atau karya ilmiah yang berkaitan
dengan tajuk ini antaranya, Mohd Kamal Hassan, Faisal Haji Othman, Razali Haji
Nawawi, pada suatu seminar Pendidikan Islam anjuran Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Malaya menyampaikan makalah dengan tajuk : Konsep Pendidikan Islam
dan Matlamat Persekolahan Ugama/Arab di Malaysia, (1976). Mereka menyatakan
bahawa Pendidikan Islam dalam konteks ini membawa fungsi untuk melahirkan
manusia yang berpengetahuan dan punya kesejajaran dengan dasar kehidupan
Islam. Pengetahuan yang dimaksudkan ialah pengetahuan-pengetahuan yang
merangkumi ilmu mengenai hubungan antara manusia dengan penciptanya (Allah
s.w.t) yang dimanifestasikan dalam ilmu-ilmu akidah dan cara perlaksanaan ibadah
khusus, dalam waktu yang sama berfungsi menjadikan manusia itu berilmu
pengetahuan. Mengenai hubungan sesama manusia dimanifestasikan dalam ilmuilmu
sosial Islam yang merangkumi ilmu-ilmu ekonomi, undang-undang, politik,
kenegaraan dan antarabangsa, etika kebudayaan dan ilmu-ilmu natural sains dan
teknologi yang berasaskan dasar hidup Islam. Selain itu, tabi‘i manusia itu sendiri
yang dijadikan Allah bermula dari kejadian Adam A.S adalah dimulakan dengan
persediaan penemuan ilmu pengetahuan dan cahaya kebenaran sebagai
persediaannya membawa amanah sebagai wakil Allah di bumi (Khalifat Allah Fi al-
Ard).
Zakiah Daradjat dalam bukunya yang bertajuk Kesehatan Mental, (1979) buku
tersebut menjelaskan bagaimana prinsip al-Mulayyanat dalam pendidikan, iaitu
mengharuskan pendidik agar tidak memperlakukan subjek didik (murid) secara
kasar. Menurut Ibn Khaldun, paksaan terhadap fizikal dalam upaya pendidikan
sangat membahayakan subjek didik, terutama anak-anak yang masih kecil. Dan
sikap keras pendidik menurut Zakiah Daradjat menimbulkan, “ia (anak) tidak
sanggup mengeluarkan pendapat, kadang-kadang terlalu sopan dan tunduk kepada
orang yang berkuasa”, kurang mempunyai inisiatif yang muncul dengan sendirinya,
tidak percaya pada diri dan yang dipilihnya selalu yang menjadi tanggungjawabnya
sahaja.
Menurut Idris Zakaria, (1983), dalam menyelesaikan program sarjana di Universiti
Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur dengan tesis yang bertajuk al-Farabi suatu
analisa tentang teori kenegaraan berdasarkan kitab al-madinat al-fadilat. Dalam bab
III tesis tersebut beliau membahaskan tentang teori kemasyarakatan dan bernegara.
Menurut beliau, setiap seorang dari manusia itu berkehendak kepada
masyarakatnya untuk mencapai kesempurnaan yang terbaik, ia tidak mungkin dapat
menyelesaikan semua perkara dengan dirinya sendiri, ia selalu berhajat kepada
kaumnya, yang mana tiap-tiap seorang beginilah keadaannya yakni perlu kepada
sikap tolong menolong. Jika tidak mereka tidak akan mencapai kesempurnaan. Ini
terjadi dengan adanya perhimpunan masyarakat yang saling bantu-membantu dan
dengan itu akan terhimpunlah hasil kepada mereka, sehingga apa yang mereka
hajati untuk mencapai kesempurnaan dari perhimpunan itu bertambahlah manusia
dan berhasil pula memakmurkan bumi, yang pada akhirnya terbentuklah sebuah
masyarakat besar.
Noeng Muhadjir pernah mengemukakan dalam bukunya, Ilmu Pendidikan dan
Perubahan Sosial, Suatu Teori Pendidikan, (1987). Beliau menegaskan bahawa Ibn
Khaldun telah mendahului banyak teori. Di antaranya manusia ditentukan oleh
faktor bakat dan keturunan semata-mata, ia lalui dengan membawa gagasan, dan
beliau menyimpulkan bahawa perkembangan manusia dalam dunia pendidikan
haruslah dilalui oleh beberapa faham pendidikan di antaranya : fahaman
konvergensi Wiliam Stern (1871-1938), fahaman nativisme Schopenhauer (1788-
1860) dan fahaman empirisme John Locke (1632-1704).
Dalam buku Perbandingan Pendidikan Islam yang ditulis oleh ‘Ali al-Jumbulati ‘Abd
al-Futuh al-Tuwanisi tahun 1994 (terj. M. Arifin,). Beliau telah menelaah tentang
pemikiran Ibn Khaldun terhadap konsep pendidikan, khasnya mengenai bagaimana
menetapkan kaedah mengajar yang harus diterapkan dalam proses mengajar ilmu
pengetahuan atau mengikutinya (Guidance ancausile), yang menitikberatkan
kepada pendidikan agama, serta beliau menyimpulkan bahawa setiap proses
belajar mengajar harus terikat dengan teori-teori pendidikan Islam yang
berlandaskan pada al-Qur’an dan Sunnah Nabi.
‘Abdullah al-Amin al-Na’mi dalam bukunya yang bertajuk al-Manahij wa Turuq al-
Ta‘lim ‘Inda al-Qabisi yang telah diterjemahkan oleh Mohd. Ramzi Omar dengan
judul Kaedah dan Teknik Pengajaran menurut Ibn Khaldun dan al-Qabisi, (1994).
Buku tersebut menjelaskan tentang bagaimana usaha Ibn Khaldun untuk
melakukan kajian tentang kemasyarakatan Islam. Beliau meletakkan kaedahkaedah
ilmu ini sebagai motif untuk menulis sejarah dalam bentuk baru,
merangkumkan pemikiran kemasyarakatannya. Buku tersebut merumuskan
pandangan Ibn Khaldun mengenai pendidikan dan peranannya dalam kehidupan di
zamannya.
Warul Walidin, (1997), dalam menyelesaikan program Doktoral di IAIN Sunan
Kalijaga Yogyakarta telah menulis tesis yang bertajuk Konsep Pedagogik Ibn
Khaldun. Tesis ini telah dibukukan pada tahun 2003 dengan tajuk Konstelasi
Pemikiran Pedagogik Ibn Khaldun Perspektif Pendidikan Modern. Dalam buku
tersebut beliau mengatakan bahawa proses pendidikan hanya mampu menerima
sekumpulan pelajaran yang telah ditetapkan, atau sebahagian hanya mengikuti
matlamat yang ditentukan dalam kurikulum yang tersusun dalam pelajaran secara
kaku, tanpa mengindahkan masalah pedagogik yang jelas, sehingga kondisi ini
akan terperangkap dalam pemaksaan ilmu pengetahuan terhadap pelajar. Objektif
untuk mencapai target atas ukuran yang ditetapkan oleh lembaga sekolah seperti itu
tanpa disedari merupakan wujud “pemaksaan” kepada murid untuk menyerap mata
pelajaran dengan aturan yang ketat. Akibat daripadanya akan menimbulkan
masalah dalam kehidupan masyarakat.
Menurut Aiza bt Maslan @ Baharudin, (2000), dalam disertasi yang dikemukakan
bagi memenuhi syarat keperluan Ijazah Sarjana Sastera (Pengajian Peradaban)
Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Kuala Lumpur yang bertajuk
Teori ‘Umran Ibn Khaldun : Kajian Khusus Kejatuhan Peradaban Islam Melaka dan
Kebangkitan Kuasa Portugis di Melaka. Dalam bab III tesis tersebut beliau
membahaskan masalah Teori ‘Umran Ibn Khaldun : Pembinaan dan kejatuhan
peradaban manusia. Beliau mengatakan bahawa Ibn Khaldun merupakan tokoh
awal yang membuat kajian secara perbandingan saintifik dan mengemukakan teori
mengenai jatuh dan bangkitnya peradaban manusia. Sumbangan besar ini
menyebabkan beliau diterima umum sebagai pengasas ‘ilm al-‘umran atau dikenali
juga sebagai ‘sains peradaban manusia’, yang mendahului kira-kira lima ratus tahun
perkembangan ilmu sosiologi di Eropah. Tesis ini lebih memahami teori ‘Umran
yang telah diketengahkan oleh tokoh tersohor ini, adalah lebih baik diteliti secara
sepintas lalu tentang elemen-elemen yang mempengaruhi perkembangan
intelektual dan pembentukan teori-teori beliau, iaitu latar belakang kehidupan yang
meliputi pendidikan dwidimensi yang diterimanya iaitu bidang keagamaan dan
falsafah, pengalaman kejayaannya, dan suasana politik yang memberi peluang
kepadanya membuat tafsiran yang lebih realiti terhadap realiti sosial.
Ghazali Darussalam dalam bukunya yang bertajuk: Pedagogi Pendidikan Islam,
(2001). Beliau membahas tentang kaedah-kaedah pengajaran dan konsep
pendidikan menurut pandangan Islam, adalah :
Kaedah pengajaran hendaklah mengikuti peringkat-peringkat pengajaran dan
mata pelajaran.
2. Kaedah pengajaran hendaklah sesuai dengan perkembangan jiwa murid.
3. Kaedah pengajaran hendaklah secara bertahap seperti, tardid, al-sama‘ alijtima‘
al-wataniy, mulakhasas, dan muhadarat.
4. Kaedah pengajaran untuk peringkat umum barulah memakai kaedah kulli yang
berbentuk al-Daqiqat (menyeluruh dan detil), atau ‘Umumiyyat (umum).
Dan beliau belum menyentuh pada elemen kemasyarakatan Islam serta teori apa
yang lebih sesuai untuk proses pendidikan.
Menurut Muhammad ‘Uthman el-Muhammady (2001), dalam makalahnya yang
bertajuk: Ibn Khaldun dan pemerkasaan budaya dan tamadun dengan merujuk
kepada al-Muqaddimah. Pandangan beliau sesuai yang apa yang disebut Ibn
Khaldun bahawa ilmu perlu menjadi sebagai malakat atau kemahiran dan
kecekapan yang sedemikian mendalam dalam seseorang dalam sesuatu ilmu
sampai menjadi tabiat kedua baginya. Beliau menyatakan bahawa malakat ini
berlaku dalam ilmu dengan manusia membuat latihan menggunakan fikiran dan
percakapan dalam ilmu dengan perbincangan serta pertukaran pendapat dan
maklumat. Cara yang paling mudah untuk memperoleh ”malakat“ ialah dengan jalan
melalui latihan lidah digunakan untuk mengungkapkan fikiran-fikiran dengan jelas
dalam diskusi dan perdebatan dalam masalah-masalah ilmiah.
Menurut Joni Tamkin Borhan dan Che Zarrina Sa‘ari (2007), dalam makalahnya
yang bertajuk: Modal Insan dan Kependudukan Dalam Pembangunan Negara
Menurut Ibn Khaldun. Beliau mengatakan bahawa Ibn Khaldun mempunyai
pandangan manusia itu sebagai modal insan yang berbeza dengan haiwan kerana
mereka mempuyai keupayaan berfikir, menentukan, memilih dan mempelajari
sesuatu untuk mencapai matlamat hidup yang lebih bertamadun. Di samping
keupayaan menggunakan akal fikiran dalam membentuk tamadun, Ibn Khaldun
melihat matlamat tamadun adalah dalam bentuk untuk memenuhi dua keperluan
utama iaitu keperluan biologi dan keperluan sosial. Maka dari itu, beliau
menyimpulkan Ibn Khaldun telah menetapkan bahawa seseorang modal insan yang
berfungsi adalah mereka yang menggunakan kemahiran berfikir mereka serta
memerlukan kepada pemenuhan keperluan asas mereka dari aspek biologi, sosial
dan spiritual mereka.
Berdasarkan kepada kajian terdahulu yang telah diterangkan di atas, maka didapati
masih ada keperluan untuk suatu kajian yang khusus mengaitkan antara teori
pendidikan dengan elemen-elemen kemasyarakatan berdasarkan pemikiran Ibn
Khaldun.
1.4. Batasan Kajian.
Kajian ini dibatasi kepada teori pendidikan Islam menurut pemikiran Ibn Khaldun,
kemudian dianalisis untuk menelaah elemen-elemen kemasyarakatan Islam yang
terkandung di dalamnya baik secara langsung mahupun tidak langsung.
Dalam kajian ini penulis menjadikan karya-karya tulisan Ibn Khaldun dan karyakarya
lain mengenainya sebagai bahan rujukan utama di sebalik kajian-kajian lepas,
di antaranya : Muqaddimah, Tarikh al-‘Alamat Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, Ibn
Khaldun wa al-Fikri al-‘Arabiy al-Mu‘asir, al-Ta‘rif bi Ibn Khaldun wa Rihlatuhu
Gharban wa Syarqan, Kejeniusan Ibn Khaldun, Konstelasi Pemikiran Pedagogik Ibn
Khaldun Perspektif Pendidikan Moden, Kaedah dan Teknik Pengajaran menurut Ibn
Khaldun dan al-Qabisi dan lain-lain.
1.5. Kepentingan Kajian.
Adapun penyelidikan atau kajian ini mempunyai beberapa kepentingan yang antara
lain adalah :
1. Boleh dijadikan sebagai sumber rujukan bagi pengkaji dan pembaca yang
berminat mengenainya.
2. Agar dapat menjadi input utama dalam proses pembinaan umat dalam dunia
pendidikan.
3. Kajian ini untuk dapat dijadikan bahan pertimbangan dalam usaha menentukan
kebijaksanaan dalam dunia pendidikan yang bernuansa Islamiy, baik di
peringkat nasional, serantau, mahupun antarabangsa.
4. Berguna untuk dunia pendidikan dalam menetapkan konsep-konsep baharu
yang sesuai dengan perkembangan zaman.
1.6. Objektif Kajian.
Secara khusus objektif kajian penyelidikan ini adalah seperti berikut :
1. Untuk mengkaji teori pendidikan Islam menurut pemikiran Ibn Khaldun.
2. Untuk menganalisis elemen-elemen kemasyarakatan yang utama berdasarkan
pemikiran Ibn Khaldun.
3. Untuk mengkaji aspek-aspek kemasyarakatan yang terdapat dalam proses
pendidikan menurut Ibn Khaldun.
1.7. Kaedah Kajian.
Dalam penyelidikan ini, penulis menggunakan kaedah sejarah, iaitu mengadakan
penyelidikan yang bermatlamat untuk memecahkan masalah yang aktual dan
menganalisis secara objektif permasalahan yang ada.27
Penyelidikan ini dilakukan mengunakan tahapan seperti berikut :
1. Setelah memilih tajuk penyelidikan, segala buku-buku, artikel-artikel, kertas
kerja, dokumen yang berkaitan dengan tajuk dan skop penyelidikan
dikumpulkan untuk dianalisis.
2. Pembacaan dimulakan untuk memberikan penjelasan yang tepat tehadap
persoalan yang sedang dikaji.
3. Setelah mengenal pasti konsep/teori pendidikan menurut Ibn Khaldun baharu
penulis dapat menganalisis secara kritis terhadap elemen-elemen
kemasyaratan Islam yang terdiri dari unsur negara, budaya, persekitaran, dan
tamadun.
Untuk melaksanakan kaedah tersebut, pengkaji menggunakan teknik penyelidikan
kepustakaan (library research) iaitu mempelajari dan menyelidiki sejumlah buku-buku,
artikel-artikel, dan lainya yang berkaitan dengan masalah yang ingin dikaji
serta pembahasannya. Data yang diperlukan dalam penyelidikan ini merupakan
data kualitatif yang bersifat tekstual dan kontekstual, iaitu beberapa pernyataan
serta pendapat yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh pendidikan tentang
pemikiran Ibn Khaldun.
Pengkaji menyatakan bahawa dalam menghimpun data tekstual dalam kajian ini
lebih banyak merujuk kepada al-Muqaddimah versi Arab. Manakala untuk versi
terjemahan, pengkaji juga ada merujuk kepada terjemahan al-Muqaddimah versi
Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia kerana kedua-duanya lebih hampir dengan
versi asal dalam Bahasa Arab. Walaupun terdapat juga versi terjemahan al-
Muqaddimah dalam Inggeris, namun setelah perbandingan dibuat ia lebih
mengelirukan berbanding yang Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia.
Data yang diperoleh dari kajian ini akan dianalisis dengan menggunakan teknik
analisis isi (Content Analysis).28 Ia melibatkan proses menganalisis isi yang
terkandung dalam sumber rujukan tentang kaedah pendidikan Islam, kaedah
pendidikan oleh Ibn Khaldun dan pemikiran Ibn Khaldun tentang elemen-elemen
kemasyarakatan.
Semua terjemahan kepada maksud ayat-ayat al-Qur’an dalam kajian ini akan
dirujuk kepada Sheikh Abdullah Basmeih, (1980), Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
Kepada Pengertian al-Qur’an, Kuala Lumpur: Bahagian Ugama Jabatan Perdana
Menteri.
BAB II
KONSEP PENDIDIKAN ISLAM
Sebagaimana diketahui bahawa pendidikan dalam Islam mempunyai martabat yang
suci dan penting sekali dan ia menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari
Islam kerana merupakan tuntutan dan kewajiban. Dalam pandangan Islam mencari
ilmu dan mengajarkannya adalah suatu kewajiban yang sangat mulia, oleh itu
mencari ilmu adalah suatu kewajiban bagi setiap muslim. Lebih tegas lagi, Islam
mewajibkan bagi setiap orang muslim dan muslimat untuk menuntut ilmu melalui
sabda Rasulullah s.a.w. :
طلب العلم فريضة على كل مسلم و مسلمة
Ertinya : ”
Menuntut ilmu itu adalah kewajiban atas setiap orang Islam, baik laki-laki
mahupun perempuan”.
Dengan kata lain, Islam mengajar bahawa Allah s.w.t. tidak akan mengubah nasib
suatu kaum sampai kaum itu mengubahnya sendiri30, dan antara cara untuk
merubah ini adalah dengan ilmu.
Pendidikan Islam juga mempunyai prinsip yang lebih unggul iaitu menghubungkan
prinsip-prinsip mengenal Tuhan, alam semesta dan diri insan secara serentak tanpa
terpisah antara satu sama lain. Sebagaimana yang terkandung dalam ayat al-
Qur’an yang pertama diturunkan, bahawasanya ia tidaklah dimulai dengan perintah
yang berhubung dengan perkara lain seperti ibadah khusus dan lain-lain, akan
tetapi dimulakan dengan perintah yang berhubung kait dengan suruhan menuntut
ilmu. Sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an:
Ertinya : “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, ia menciptakan
manusia dari se-buku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha
Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena. Ia mengajarkan manusia
apa yang tidak diketahuinya”.
(al-Qur’an, al-‘Alaq: 1 – 5)
Ayat diatas merupakan ayat yang pertama diturunkan di Makkah untuk menjelaskan
keutamaan Allah s.w.t menciptakan manusia dari yang lemah sehingga menjadi
kuat iaitu dengan menampakkan tuntutan atau kewajiban untuk membaca dan
menulis agar terlihat perbezaan antara manusia dengan makhluk-makhluk yang
lain.
Wahyu ini ialah perintah Ilahi kepada rasul-Nya s.a.w. supaya mengisytihar dan
menyebarkan risalat kepada semua umat manusia. Wahyu yang pertama ini
mengandungi perintah yang menyuruh manusia agar belajar, mengenal Tuhan,
memahami fenomena alam, memahami diri sendiri serta menghayati bahawa cara
hidup yang baik adalah tergolong dalam prinsip akidah, ilmu dan amal.32 Oleh
kerana itu, semua perkara ini adalah menjadi prinsip hidup manusia dalam
mencapai al-insan al-kamil.
Inilah ayat-ayat pertama yang diturunkan Allah s.w.t. dan ia berupa rahmat Allah
s.w.t. yang terbesar untuk umat manusia. Dalam ayat-ayat permulaan ini Allah s.w.t
menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. supaya membaca dan memperhatikan bukti
kebesaran Allah s.w.t di alam ini. Dan inilah merupakan landasan terciptanya
pendidikan Islam bagi sekalian umat manusia di dunia ini.
Islam tidaklah melihat pendidikan dari skop yang sempit. Ia tidak terbatas pada
pendidikan duniawi semata-mata, tetapi meliputi dua lapangan iaitu dunia dan
akhirat. Dalam hubungan ini Islam telah membahagikan ilmu kepada dua kumpulan
yang besar; Pertama ialah ilmu fardu ‘ayn yang dituntut ke atas setiap orang supaya
mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan suruhan agama, seperti ilmu
agama, (tauhid, akidah, akhlak, fiqh dan lain-lain). Kedua, ilmu fardu kifayat iaitu
yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada
individu tertentu seperti ilmu pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran,
ekonomi, kimia, fizik, pembuatan senjata dan sebagainya. Walau bagaimanapun,
ilmu yang kedua ini menjadi fardu ‘ayn apabila tiada seorang pun muslim dalam
masyarakat itu yang mempelajarinya
Pendidikan Islam akan menyatukan semua pengetahuan di bawah pengendalian al-
Qur’an dan al-Sunnat yang merupakan teras di dalam kesyumulan dan kesatuan
ilmu-ilmu itu. Akidah Islamlah yang menjadi landasan utama bagi penentuan kehidupan manusia...